Mar 1, 2014

UMNO BERSAMAKU

Aku dilahirkan 3 Mac 1964 di Kampung Bachang Melaka.
Keluargaku adalah penyokong kuat UMNO. Mereka semua berjuang demi survival anak cucu di hari muka.
Emak saudaraku Hjh Atekah merupakan orang yang membawa aku ke kancah politik.
Bermula dengan membawa aku ke majlis-majlis keraian UMNO baik di kampung mahupun di kampung-kampung lainnya.
Aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke Politeknik Kuantan dan seterusnya menyambung pelajaran ke ITM Shah Alam sehinggalah aku tamat dengan jayanya.
Di kampung rakan-rakan sepermainanku mula mencari dan menawarkan aku agar berkecimpung dalam Persatuan Belia Suria Bachang dan aku dipilih menjawat jawatan Naib Pengerusi.
Aku seterusnya diminta pula oleh abang sepupuku agar menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bachang. Aku terima dengan seadanya kerana aku masih mentah tentang sepak terajang dalam politik.
Ketika itu emak saudaraku Hjh Atekah adalah Ketua Wanita UMNO Cawangan Bachang.
Aku terus mendapat kepercayaan di kampung kerana hidupku sentiasa berdamping di masjid dan menghadiri pelbagai majlis keraian di dalam kampung.
Aku mendapat didikan agama daripada abang pupuanku Allahyarham Bilal Hamid dan abang saudaraku Allahyarham Imam Hj Hassan.
Aku juga pernah belajar taranum dengan Allahyarham Tok Abdullah di sekitar Masjid Kampung Hulu.
Mungkin kerana aku berjaya dalam pelajaran dan sentiasa dekat dengan agama samada aku mampu azan,berzanji,menjadi imam,mengaji bertaranum di samping membuka tuisyen tanpa mengira bayaran mengajar pelajar SPM,PMR malah UPSR maka itu aku mudah dipilih dan diterima dalam pemuda UMNO Cawangan Bachang.
Seterusnya aku mula diterima pula apabila menang bertanding AJK Pemuda UMNO Bahagian yang pada ketika itu Ketua Pemudanya Datuk Asaari Ibrahim.
Aku dilantik pula oleh Ketua UMNO Cawangan Bachang yang pupuanku juga iaitu Datuk Hj Kasim sebagai Setiausaha UMNO Cawangan Bachang.
Kemudian aku telah diterima pula menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bachang setelah Ketua Pemudaku Allahyarham saudaraku Mehat Samat berpindah ke cawangan baru UMNO Cawangan Bachang Darat.
Aku telah menjawat jawatan AJK Pemuda Bahagian Batu Berendam selama hampir 12 tahun di bawah Ketua Pemuda Dtk Asaari,Datuk Mustazah,Dtk Hasnoor dan Sdra Ramli. Setelah UMNO Bahagian Batu Berendam di pecahkan kepada UMNO Bahagian Bukit Katil dan UMNO Bahagian Tangga Batu,aku dipilih pula menjawat Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Katil  di bawah ketuanya Sdra Karim Yaakob.
Aku juga masih ingat di mana aku berucap di pentas Pemuda UMNO Malaysia mewakili Pemuda UMNO Negeri Melaka.
Seterusnya selepas aku habis zaman pemuda,aku terus mendapat kepercayaan untuk menjawat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil sehinggalah sekarang masuk dua penggal aku menjawatnya.
Kini sedar-sedar aku sudah hampir 25 tahun berkecimpung dalam UMNO dan aku harap setelah sekian lama dalam UMNO, aku tidak diketepikan begitu saja tanpa mengambil kira segala pengorbanan tenaga,harta dan masa selama ini. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi sepanjang aku berkecimpung dalam politik aku telah diberi amanah untuk menjawat jawatan pembantu luar JHEK Melaka bagi Dun Bachang selama 13 tahun. Seterusnya diberi kepercayaan menjawat jawatan Pengarah JASA Melaka sehingga kini hampir 6 tahun. Aku sentiasa berdoa ke hadrat Ilahi agar aku akan terus mendapat kepercayaan kepimpinan dan berjaya di hari muka..Amin Ya Rabbal Alamin.